Thursday, March 04, 2004
posted by nile at 8:57 AM
RENUNGAN

Nasib Baik

Sebagai hamba Allah kita tidak terlepas daripada menerima dugaan dan cabaran dalam kehidupan seharian. Setiap ujian itu kadangkala datang tidak di sangka-sangka dan ada yang datang sekali dalam hidup dan sesetengah orang ada yang merasakan terlalu banyak dugaan Tuhan telah dia lalui. Kita sering melafazkan kata-kata "nasib baik" apabila kita terlepas, terselamat atau berjaya mengelakkan diri daripada sesuatu perkara atau kejadian yang boleh memberi kemudaratan dan kesan buruk kepada kita. Kita selalu menyebut "nasib baik" apabila kita meniru dalam peperiksaan tetapi cikgu tidak menyedarinya. Kita ucap "nasib baik" bila sebaik sahaja kita sampai di stesyen komuter, tren komuter itu baru sahaja bergerak dan tidak lama kemudian terlibat dalam kemalangan ngeri dengan sebuah tren yang lain. Kita menyebut "nasib baik" apabila kebetulan kita hadir ke kelas yang paling malas kita hadir sebelum ini dan hari itu pensyarah yang selama ini tidak pernah mengambil kedatangan tiba-tiba melakukannya. Kita mengucapkan "nasib baik" bila kita sempat balik ke rumah dan mengangkat pakaian di ampaian dan tidak berapa lama kemudian hujan pun turun.
Dua patah perkataan itu selalu kita ucapkan bila kita merasakan diri kita telah terselamat daripada bala, daripada bencana, daripada kesusahan dan juga daripada kecederaan pada diri kita. Ia biasanya datang tak semena-mena dan kita merasakan diri kita bertuah kerana hari ini memang kita bernasib baik.

Tapi kita sering saja lupa, ketika kesenangan melimpahi segenap ruang hidup kita, pernahkan kita berkata kita bernasib baik? Sewaktu kita lalui suatu perjalanan yang jauh dan akhirnya kita selamat tiba di destinasi yang di tuju, adakah kita berkata kita bernasib baik? Sewaktu kita berkelah di tepi pantai, di kawasan airi terjun ataupun di mana-mana dan ia berjalan dengan baik tanpa berlaku sebarang kemalangan atau perkara yang tidak di ingini pernahkan dua patah perkataan pendek ini terlintas di fikiran? Pernahkan kita mengucapkan nasib baik apabila kita terbangun daripada tidur di suatu pagi dan mendapati yang kita masih diberi nyawa untuk meneruskan kehidupan di bumi ini?


Itulah adat manusia... apabila diri mula merasakan diri terlalu dekat dengan bala tetapi tiba-tiba tanpa di sangka kita terlepas darinya, barulah kita merasakan kita bernasib baik. Kita berkata "nasib baik" atau "nasib baik aku tak naik tren tu" atau "nasib baik aku datang ke kelas". Sebenarnya kita tersilap... tersilap dan tersasar kerana cara kita mengucapkan nasib baik itu sendiri sudah terpesong. Kita sering menyebut "nasib baik engkau lalu kat tempat ini kalau tak mesti aku lemas". Daripada ayat ini seolah-olah kita berkata orang itulah yang menyelamatkan kita. Sepatutnya kita bersyukur pada Tuhan. Berterima kasih lah kepada Allah kerana menghantar seseorang menyelamatkan kita. Ucapan seperti "syukur pada Allah", "nasib baik engkau di beri petunjuk" atau "Alhamdulillah tuhan masih sayangkan aku" adalah lafaz yang lebih baik dan lebih menunjukkan rasa kesyukuran atas kerahmatan Allah pada diri kita. Sering kali apabila di ulit dengan kelapangan, kesenangan, dan kegembiraan kita lalai dan melupakan rahmat tuhan. Kita sering saja hanyut di buai ombak keseronokan duniawi. Kita tidak pernah terfikir seandainya akan tiba bala bencana pada masa akan datang. Inilah yang menyebabkan kita tidak bersiap-sedia menghadapi segala dugaan yang tidak menghantar angin untuk mengingatkan kita bila ia akan berlaku.


Kadangkala nasib baik akan menyebelahi kita kerana ia datang dari pertolongan Tuhan. Bersyukurlah kepada Allah kerana kita masih diberi petunjuk dan dihindarkan dari menerima mala petaka yang tidak kita inginkan. Pertolongan Allah akan datang pada manusia yang meminta pertolongan darinya dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang hamba Allah yang sebenar. Ujian yang datang tanpa kita dapat mengelakkannya jangan pula di anggap sebagai bala yang boleh merosakkan hidup kita. Terimalah dan hadapinya dengan cara yang betul dan redha atas segalanya kerana ia adalah ujian Allah pada kita. Dan ini menunjukkan yang kita masih tergolong dalam hamba yang diberi petunjuk.... dan ia juga beerti Allah masih menyanyangi kita. InsyaAllah!!

Petikan: Pengalaman Hidupku...