Wednesday, August 23, 2006
posted by nile at 1:35 PM
Photobucket - Video and Image Hosting

Saya tengah membaca novel ini sekarang, 'Tunggu Teduh Dulu' karya Faisal Tehrani(baca sampai habis kerana saya bukannya sedang mengulas novel), yang saya pinjam milik seorang kawan yang membuatkan saya kagum kerana rumahnya ibarat perpustakaan mini dan kerana dia juga boleh mengingat satu bait ayat yang cukup panjang bagi saya dari sebuah cerpen yang pernah dia baca dalam tekaan saya sudah berbelas-belas tahun lamanya berlalu. Faisal Tehrani... nama yang unik dan senang diingati antara novelis yang saya kagumi. Novel karyanya yang pertama saya baca adalah 1515. Sebelum itu saya mula mengenali tulisannya melalui artikel yang keluar saban isu di satu majalah yang saya langgan tidak lama dulu. Lupa pula saya tajuknya kerana majalah itu sudah tiada di pasaran lagi kini. Tapi saya masih ingat antara isu kesayangan saya ialah apabila Nurul Izzah Anwar Ibrahim menjadi gadis penghias muka. Sudah terlalu lama, seingat saya tahun 1999. Saat politik negara bergolak kencang ibarat tsunami menerjah radang memusnahkan keindahan di seluruh alam ciptaan Tuhan Yang Maha Penyayang (hahaha.. saja meniru gaya Faisal menulis, tapi tak cukup berbunga lagi). Macam mana entah saya boleh lupa tajuknya. Mungkin kerana tajuknya di dalam bahasa arab. Nampaknya, saya betul-betul perlukan ginko biloba. Tak gitu Boss? Sangat teruja dengan gaya olahan ceritera Faisal terutamanya dalam 1515. Nampaknya keterujaan saya terhadap novel bercambah semula setelah sekian lama. Tunggu Teduh Dulu adalah sebuah novel yang terlalu tebal untuk si pemalas membaca seperti saya ini. 678 muka surat, lebih kurang 3 biji novel biasa yang terdapat di pasaran. Sekarang saya di mukasurat 284. Cukup laju mungkin bagi saya untuk tempoh 2 hari kerana ia di dorong dengan keselambaan saya membaca di dalam makmal pagi tadi tanpa menjalankan rutin biasa berlegar-legar melihat pelajar-pelajar saya melakukan eksperimen (hehehe.. jumaat ni buat lagi)

Apa yang saya suka tentang novel ini ialah jalan cerita yang memanggil-manggil saya untuk terus menyambung pembacaan. Pertama kali mata saya terpaku pada tulisan Bank Pertanian yang disebut dalamnya, keterujaan saya meningkat ke tahap maksima. Apatah lagi dua watak utama, sahabat baik Salsabila dan Teh Sofia bersama-sama mengusahakan tanaman betik dengan mendapatkan bantuan kewangan di bawah satu skim anjuran Bank Pertanian iaitu dari Tabung Untuk Makanan. Apa ironinya Bank Pertanian ini? Sebenarnya saya sedang berkira-kira untuk menghantar borang bagi memasuki satu skim anjuran kerajaan tetapi di selenggarakan di bawah Bank Pertanian iaitu Skim Usahawan Tani Komersial Siswazah (SUTKS). Novel ini benar-benar meniupkan semangat kepada saya untuk merealisasikan impian yang tiba-tiba terbit hampir sebulan yang lepas. Apatah lagi bila saya balik ke Terengganu baru-baru ini, seorang kawan lama juga bercerita mengenai perkara ini sehingga mendorong saya untuk menghubungi En. Jamadin, pengurus Bank Pertanian cawangan Dungun untuk bertanya serba sedikit tentang skim ini. Keazaman juga semakin membara apabila kakak saya sudah menyatakan kesediaannya untuk menanam modal dengan menjadi sleeping partner. Sebenarnya sudah bertahun-tahun dia mengajak saya membuka bisnes bersamanya tetapi keadaan saya yang masih belum mempunyai pekerjaan tetap mematahkan hasrat itu. Dan juga dari rakan chat baru yang mempunyai minat yang sama di mana dengan dialah saya berkongsi keterujaan saya untuk memasuki skim ini.

Saya bukan ingin bercerita mengenai novel ini sebenarnya. Tetapi kesan novel ini pada diri saya. Ia ibarat satu asas yang baik kerana pendetailan yang diberikan di setiap muka surat tentang aspek penanaman dan penjagaan betik yang diselang-selikan dengan kisah cinta sebagai penyedap cerita. Hinggakan sampai pada suatu ketika saya hampir berkira-kira untuk menukar impian saya menanam cendawan kepada betik kerana pengaruh tulisannya. Selain itu, perkaitannya tentang hal ini dengan kisah semalam di kelas bahasa inggeris bersama trainer baru yang pernah saya ceritakan di sini dulu. Beliau kini akan mengajar kami secara tetap untuk sesi pagi. Sesi takruf bermula di mana di situlah kisah cendawan saya kembali menjadi perbualan setelah saya bercuti panjang. Beliau memberikan galakan yang cukup baik. Dan juga mencadangkan saya beberapa cara sebelum terjun secara sepenuh masa ke bidang ini. Suatu idea yang kadang-kadang bagi saya nampak seperti tidak realistik tetapi saya perlu belajar untuk menjadi lebih optimistik. Banyak perkara juga yang saya ingin berkongsi dengan beliau tetapi ia tersekat kerana penguasaan bahasa inggeris saya yang lemah. Di dalam kelasnya tiada bahasa melayu, itu syarat utama. Tapi sesi itu cukup untuk membuatkan keyakinan, semangat, dan keghairahan saya untuk memcuba nasib di dalam bidang baru ini melonjak tinggi. Cuma satu, segalanya bergantung kepada permohonan. Andai tidak berjaya, ia hanya akan tinggal angan-angan. Itu biasalah... tidak semua impian menjadi kenyataan. Tapi jangan akur dengan kegagalan. Tanpa kegagalan manusia tidak akan tahu erti kesusahan. Hidup memang penuh dengan cabaran dan dugaan.

Tunggu teduh dulu. Moga selepas itu akan ada sinar terang, menunjukkan saya jalan, melunaskan segala harapan, agar impian jadi kenyataan. Doakan untuk saya kawan-kawan